Friday, September 05, 2008

Bandar Saujana Putra perlu masjid

KAMI penduduk beragama Islam di Bandar Saujana Putra, Jenjarom, Selangor dengan dukacita memaklumkan sehingga kini masih tiada surau tetap apa lagi masjid di tempat kami.

Akibatnya, hampir 3,000 orang yang bermastautin di sini terpaksa bersolat Jumaat di masjid paling hampir yang jauhnya 15 kilometer.

Di Bandar Saujana Putra ini terdapat lapan taman dan dua kawasan pangsapuri. Jika ada surau pun hanya terdapat di kawasan pangsapuri dengan saiz yang kecil.

Di taman-taman lain masih tiada surau untuk bersolat mahupun untuk sebarang aktiviti kemasyarakatan setempat.

Bagaimanapun, dengan inisiatif umat Islam di sini, kami menggunakan rumah-rumah kosong untuk digunakan sebagai surau sementara bagi keperluan masyarakat, khususnya solat berjemaah. Rumah ini kami gunakan dengan sewaan sebanyak RM400 sebulan melalui derma daripada para qariah.

Masalah ini telah kami ajukan kepada anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor hatta juga sampai ke pengetahuan Menteri Besar, namun hingga kini kami masih menunggu jawapan daripada pihak-pihak yang terbabit.

Dengan kerjasama JAIS Kuala Langat, tapak surau telah diwartakan awal tahun ini tetapi di atas sebab kekurangan dana, pembinaan ini terpaksa kami tangguh.

Sempena Ramadan ini, dengan kerjasama MDKL, kami dibantu menerusi dua khemah dan menambah satu lagi rumah untuk menampung pertambahan jemaah untuk solat terawih.

Masalahnya sampai bila kami harus menghadapi keadaan sebegini.

Di sini, kami sangat-sangat mengharap ada pihak pihak yang prihatin dan jujur dalam membantu kami untuk mewujudkan sebuah surau yang mungkin boleh dijadikan sebagai tempat untuk solat Jumaat bagi qariah di sini.

Kami juga telah berusaha mencari dana sendiri dengan meletakkan pemidang di tempat-tempat yang strategik, menghantar surat derma kepada badan korporat dan masjid di Selangor namun agak kurang mendapat sambutan.

SHAMDIN SALLEH HUSIN

Bandar Saujana Putra,

Selangor

Petikan : Utusan Malaysia Online (Forum), 05 September 2008 (Jumaat)

1 comment:

PDR resources said...

apa kata kita hebahkan no akaun utk sumbangan derma di website/blog individu?