Thursday, August 07, 2008

40 hektar tanah gambut terbakar

Oleh Mohd Hamizar Hamid
mizar@bharian.com.my


JEREBU: Ruang udara diselubungi asap tebal akibat kebakaran di Dengkil sejak seminggu lalu.

Cuaca panas, berangin mudahkan api merebak

DENGKIL: Kira-kira 40 hektar kawasan lapang bertanah gambut berhampiran Kilometer 25.5 Lebuhraya Ekspres Lingkaran Tengah (Elite) dekat sini, musnah dalam kebakaran yang dipercayai berlaku sejak minggu lalu, menyebabkan kawasan di sekitarnya diselaputi asap tebal.

Cuaca panas serta berangin sejak beberapa hari lalu mengakibatkan keadaan kebakaran yang belum diketahui puncanya itu mudah merebak.

Tinjauan Berita Minggu mendapati beberapa tompokan api dikesan di beberapa kawasan berkenaan terutama berhampiran Taman Wetlands di sini manakala kepulan asap bergerak ke arah Lebuh Raya Elite tetapi tidak mengganggu lalu lintas yang menggunakan di lebuh raya berkenaan .

Lokasi kebakaran terletak kira-kira tiga kilometer dari kawasan perumahan Taman Arked dan Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Paya Indah.

Penduduk Taman Arked, Rosli Md Rashid, 58, berkata kebakaran dipercayai bermula minggu lalu, tetapi keadaan bertambah buruk akibat cuaca panas dan kering sejak beberapa hari lalu.

"Asap putih jelas kelihatan pada waktu siang dan penduduk masih boleh menghidu bau asap berkenaan pada waktu malam.

"Kami bimbang keadaan ini bertambah buruk dan boleh menjejaskan penduduk di kawasan sekitar," katanya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Hamzah Abu Bakar, berkata 46 anggota dan tiga jentera diarah ke tempat kejadian bagi mengawal kebakaran.

Katanya, pihaknya sudah mengawal kebakaran itu selepas menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 2.30 petang kelmarin.

"Kita menggunakan peralatan hidro-sub iaitu pam yang berkuasa tinggi untuk memadam dan mengawal kebakaran," katanya.

JEJAS PENGLIHATAN: Kawasan kebakaran tanah gambut berhampiran Lebuh Raya Elite.

Petikan : Berita Harian

No comments: