Oleh Haika Khazi
40 hektar hutan paya tanah gambut dibakar untuk perladangan
PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor semalam mengesan satu lagi kebakaran membabitkan 40 hektar hutan paya tanah gambut di kawasan berhampiran Lebuhraya Ekspress Lingkaran Tengah (Elite) di Dengkil, Sepang, dekat sini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Penolong Pesuruhjaya Bomba Abdul Razak Muda, berkata kebakaran itu dikesan beberapa anggota bomba yang melakukan pemantauan 24 jam terhadap kawasan paya tanah gambut yang terbakar, sejak lebih seminggu lalu.
Beliau berkata, kejadian terbaru itu memeranjatkan anggotanya kerana mereka baru saja berjaya memadam kebakaran membabitkan 100 hektar hutan tanah paya gambut di lokasi berhampiran kelmarin.
"Berikutan itu, kita mengarahkan 139 anggota bomba ke situ bagi mengawal kebakaran dengan menggali parit sementara dan mengalirkan air bagi mencegah kebakaran daripada terus merebak ke kawasan hutan besar yang terletak tidak jauh dari situ.
"Kita juga akan menambah bilangan anggota bomba kepada 187 orang, mulai esok (hari ini) bagi mempercepatkan kerja memadam kebakaran," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Sebelum ini, kira-kira 40 hektar kawasan hutan paya tanah gambut di Kilometer 25.5, Lebuhraya Elite berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil, Sepang, musnah dalam kebakaran yang dipercayai bermula sejak lebih minggu lalu. Kebakaran itu kemudian merebak ke kawasan lain seluas 100 hektar.
Siasatan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor mendapati kebakaran itu dimulakan pekerja sebuah syarikat perladangan yang memiliki tanah berkenaan bagi membolehkan projek penanaman tembikai madu dan belimbing dilaksanakan secepat mungkin.
Petikan : Berita Harian Online, 7hb Ogos 2008
Thursday, August 07, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment